‘Takkan Nak Mansuh Pingat Emas Sebab Nak Jaga Hati Peserta Kalah?’ – Guru | NEWS

‘Takkan Nak Mansuh Pingat Emas Sebab Nak Jaga Hati Peserta Kalah?’ – Guru


Viral Snapper - Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah diumumkan hari ini di seluruh negara. Penat lelah dan usaha anak-anak akan terbukti dengan berapa jumlah ‘A’ yang dapat diraih. Ada yang akan bersorak gembira dan ada juga yang akan berdukacita. Keputusan yang kurang baik tidak bermakna mereka tidak berusaha, mungkin rezeki tidak berpihak kepada mereka kali ini.

Luahan seorang guru mengenai anugerah cemerlang bagi mereka yang berjaya patut membuka mata ibu bapa dan masyarakat secara amnya. Mungkin dilihat kecil, namun impaknya cukup besar kepada perkembangan emosi calon kurang cemerlang.

Bila mereka berjaya, kita nak nafikan hak mereka. Adilkah begitu?


UPSR dan Anugerah Cemerlang.

Isu yang hangat diperkatakan sehari dua ini memandangkan keputusan UPSR bakal diumumkan esok hari. Malah, menteri juga memberi respon tentang hal ini.

Aku pun mahu memberi pandangan peribadi aku berkenaan dengan isu UPSR dan Anugerah Cemerlang. Apa yang kau bakal baca adalah pandangan yang bersifat peribadi.

Pada aku, mereka yang cemerlang kita kena raikan. Kena bagi anugerah, kena bagi mereka naik pentas untuk terima penghargaan.

Itu titik usaha mereka. Itu pahit jerih mereka. Itu pengorbanan mereka. Dan bila mereka berjaya, kita nak nafikan hak mereka pula? Apa adil begitu?

Murid ini, usaha mereka berganda-ganda. Saat kawan-kawan mereka tidur, mereka bangun malam. Belajar, solat hajat dan berdoa.

Murid lain diwaktu hujung minggu berseronok di taman mainan, bersuka ria seolah tiada apa yang bakal berlaku sedangkan mereka ini menahan diri. Bukan mereka tak minat main, tapi demi sebuah kejayaan, pasti satu pengorbanan perlu dilakukan. Mereka belajar, mereka minta tunjuk ajar, mereka usaha bersungguh-sungguh.

Hendak jaga hati murid malas, tidak beri anugerah pada yang cemerlang. Betul ke?
Sampai ketika keputusan diumumkan, pengorbanan, pahit getir dan usaha mereka dinafikan pula? Hanya kerana nak jaga hati murid yang tidak banyak berusaha seperti mereka?

Hendak jaga hati murid yang malas sehingga tidak beri anugerah pada yang cemerlang. Apa betul tindakan kita? 

( Aku tahu ayat ni pasti ramai tidak setuju dan tidak puas hati. Kau tenang dulu, baca satu persatu apa aku nak cakap.)

Ya, aku tahu bukan semua murid yang yang gagal itu pemalas. Ada yang usahanya gigih, namun rezekinya setakat itu.

Dari dulu mereka yang cemerlang kita bagi anugerah secara terbuka. Aku ini bukan murid yang genius. Jarang sekali dapat naik pentas terima anugerah.

Namun setiap kali melihat rakan naik pentas terima anugerah, ia menjadi pendorong untuk mereka yang gagal berusaha lebih gigih. Itu satu motivasi yang baik.

Dari kecil aku tanam niat dan ibu bapa selalu cakap,

” Belajar sungguh-sungguh. Kalau cemerlang dapat naik pentas terima hadiah.”

Itu pendorong dan pembakar semangat. Jangan sampai suatu masa nanti murid berkata pada diri sendiri,

” Buat apa belajar rajin-rajin. Buat apa bersekang mata belajar tengah malam. Buat apa korban waktu hujung minggu untuk belajar. Kalau dapat straight A bukan dapat apa pun.”

Kekecewaan boleh beri pulangan tinggi di masa depan


Kau nampak tak apa yang aku nampak? Kau nampak tak apa kerisauan aku?

Murid tahun 6, tak kira yang gagal atau cemerlang memang pihak sekolah raikan saban tahun. Setiap tahun sebelum UPSR umum lagi hampir semua sekolah buat jamuan untuk semua murid tahun 6.

Bagi semua murid gembira. Bagi mereka makan besar. Bagi mereka buat persembahan dan berseronok. Itu semua atas kegigihan mereka belajar selama ini.

Kami raikan semua pelajar. Bukan yang cemerlang sahaja. Bukan murid kelas depan sahaja.

Tapi bila keputusan sebenar keluar, pastinya yang cemerlang perlu diraikan sekali lagi. Biar semua menyaksikan agar menjadi pendorong pada adik-adik dan kawan-kawan yang lain.

Yang gagal, pastinya akan bersedih. Itu normal. Itu tanggungjawab ibu bapa di rumah untuk mengubat kekecewaan itu.

Di sekolah, pihak guru tak pernah abaikan murid yang kecewa ini. Guru kelas, guru mata pelajaran, guru kaunseling terus menerus memberi kata dorongan dan semangat mereka.

Kekecewaan mereka jika kita pandai manipulasi akan jadi satu kekecewaan yang memberi pulangan tinggi di masa akan datang.

Kesedihan mereka ini bukannya berkekalan sampai mati. Tidak!

Namun semangat yang mereka perolehi akibat kegagalan ini yang berterusan. Ini yang aku paling suka. Sejarah telah pun membuktikannya.

Takkan nak mansuhkan pingat emas lumba lari hanya nak jaga hati yang kalah?


Berapa ramai murid yang gagal sewaktu UPSR, menjadikan kegagalan ini sebagai sumber pendorong hingga menjadi murid yang cemerlang di peringkat lebih tinggi. Gagal UPSR, tapi cemerlang dalam PT3, SPM, STPM, Sijil, Diploma, Ijazah, Sarjana dan PhD.

Ramai murid gagal menjadikan tangisan sewaktu rakan lain melangkah naik pentas terima penghargaan atas kecemerlangan sebagai sumber dorongan dan semangat baru untuk mereka lebih rajin dan berusaha di masa akan datang. Tangisan semalam menjadi punca senyuman akan datang.

Apa itu tidak bagus?

Jika hanya kita sekat anugerah cemerlang di peringkat sekolah rendah, ini satu tindakan tidak kena. Sedangkan di peringkat lebih tinggi, semua yang cemerlang kita hargai dan raikan. Bukan hanya berkaitan dengan peperiksaan sahaja.

Pertandingan sukan pun begitu. Takkan kita nak mansuhkan pingat emas lumba lari (contohnya) hanya kerana nak jaga hati peserta yang kalah?

Piala Dunia tak perlu bagi piala bagi pemenanglah. Pemain badminton yang menang Piala Thomas tak perlu bagi medal emas. Pekerja cemerlang tak perlu bagi anugerah cemerlang.

Takkan nak buat begitu pada semua peringkat? Hanya kerana nak menjaga hati mereka yang tidak berjaya.

Kecemerlangan itu bukan mudah untuk dicapai. Tak kira dalam apa jua bidang sekali pun.

Anugerah ini bukan sekadar memberi penghargaan pada yang cemerlang, malah menjadi dorongan dan sumber inspirasi pada yang kurang cemerlang.

Pada aku, meraikan mereka yang cemerlang adalah relevan sepanjang masa.

Kehidupan bila mereka berdikari nanti adalah kejam. Masa itu, tiada siapa akan jaga hati mereka melainkan diri mereka sendiri.

Begitulah.

Dan sekali lagi diingatkan, ini adalah pendapat peribadi aku. Kau bebas nak setuju atau nak bangkang.